Thursday, May 6, 2010

NOTIS 24 JAM UNTUK BEBASKAN NORSAH?





ADUAN.... Malinda memfailkan aduan rasmi terhadap SUHAKAM dan gambar hadapan Malinda menunjukkan gambar anak kesayangannya yang ditahan Task Force di Kimanis, Papar.


Oleh: MUTALIB M.D


POLIS yang selama ini dituduh berkelakuan kejam terhadap rakyat Malaysia rupanya tidak sekejam Pasukan Petugas Khas Persekutuan (Task Force) yang ditubuhkan secara ‘Ad-hoc’ di Sabah untuk menyelesaikan masalah Pendatang Asing Tanpa Izin di Sabah kerana berlaku kejam terhadap kanak-kanak dan tidak menghormati Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak yang diperakui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kekejaman mereka bukan sahaja terhadap ‘Stateless Citizen’ malah terhadap Warganegara Malaysia yang ditangkap tanpa sebab dan dipisahkan daripada ibubapa yang mendambakan kasih sayang kepada anak mereka selama ini.

“Saya dengan ini memberi notis selama 24 jam untuk membebaskan anak saya, Norsah Mansor atau saya akan menyaman Kerajaan Malaysia termasuk Perdana Menteri kerana secara cuai dan berniat jahat menahan anak saya tanpa sebarang tuduhan,” ujar Malinda Ismail yang teramat kesal kerana anak perempuannya yang berusia 11 tahun ditangkap Task Force ketika sedang bermain bersama kanak-kanak lain di bawah rumah flat yang mereka sewa di Pekan Inanam, Kota Kinabalu pada 27 Januari 2010 lalu.

Malinda memberi ultimatum berkenaan selepas berjumpa dengan Setiausaha Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) Jasmih Selamat di Tingkat 8, Centre Point, Kota Kinabalu baru-baru ini.

Menurut Malinda, beliau sedang sibuk memasak di sebuah flat di Inanam Point hanya menyedari ketiadaan anaknya setelah jiran memaklumkan bahawa anaknya yang sedang leka bermain dengan anak-anak jiran lain ditangkap Task Force dan telah dimuatkan ke dalam lori.

“Saya merayu agar mereka membebaskan anak saya kerana statusnya sebawai warganegara Malaysia tetapi pegawai bertugas tidak mempedulikan rayuan saya malah terus membawa anak saya ke Rumah Merah di Menggatal,” ujar Malinda sambil menyeka air mata apabila menunjukkan gambar anaknya.

Kata Malinda, anak perempuannya lahir hasil perkongsian dengan seorang warganegara Malaysia, Mansor Safie (Mykad 690206-12-5775); namun jodohnya tidak panjang dan mereka telah bercerai.

Kini Malinda hidup bersama suami baru yang ‘menerima’ anak perempuannya sebagai anak sendiri dan memberikan sepenuh kasih sayang sekalipun mempunyai anak sendiri dengan Malinda yang berusia lebih sebulan.

“Mungkin mereka melihat saya pemegang IMM13 maka saya dilayan seperti anjing, sedangkan anak saya warganegara Malaysia sepatutnya dilayan dengan sempurna dan dikembalikan kepada saya kerana dia bukan kanak-kanak jalanan,” ujar Malinda dengan nada kesal.

Malinda mengambil kesempatan ini untuk merayu agar bekas suaminya, Mansor agar tampil membebaskan anaknya daripada Pusat Tahanan Sementara di Kimanis Papar kerana kesihatan anaknya terganggu sejak ditahan lebih tiga bulan lalu.

“Saya merayu agar bekas suami saya membantu saya membebaskan anak kami kerana Task Force enggan melayan sebarang permintaan atau rayuan saya semata-mata kerana saya warganegara Filipina yang berstatus Pelarian,” ujar Malinda dengan nada sebak kerana gagal menghubungi bekas suaminya setelah bercerai lebih 10 tahun lalu.

Menurut Malinda, beliau telah dihubungi seorang peguam kanan yang memintanya melaporkan isu ini kepada Suhakam dan memberi notis 24 jam (selepas kenyataannya disiarkan) kepada Task Force untuk membebaskan anaknya sebelum tindakan undang-undang diambil terhadap Kerajaan Malaysia.

Dalam pada itu, Pengarah Task Force Sabah, Haji Misri Barham ketika dihubungi Sabahkini.net memberitahu Pusat Tahanan Sementara Menggatal (Rumah Merah) ditutup untuk kerja-kerja pembaikan.

“Di Papar ada 150 orang kanak-kanak jalanan dalam program pemulihan,” ujar Haji Misri yang berjanji akan menyiasat dakwaan Sabahkini.net berhubung aduan Malinda kerana ketika ditangkap ibu berkenaan gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri anaknya.

MIRROR SABAHKINI.NET

MEMANDANG terlalu ramai pengunjung ke www.sabahkini.net sehingga menyebabkan server tidak lagi mampu menampung lebih 23 juta hit dalam masa sehari sehingga menyebabkan pemilik server menghantar notis berikut;

"Your site http://sabahkini.net has been turn off public access because it is causing high load to server. High resources is required to http://sabahkini.net to run because it has many visitors.Normal shared hosting might no longer suit the usage of http://sabahkini.net hence, you might want to at least consider the below package"

Sehubungan itu, buat sementara waktu dalam tempoh Sabahkini.net dinaiktaraf, blog ini akan menyiarkan semua berita baru www.sabahkini.net. Penaiktarafan dan menukar server Sabahkini.net memerlukan masa antara 5 hari sehingga satu minggu.